CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, December 20, 2009

solat itu tiang agama

Salam ukhuwah satu hati...


Marilah kita sama-sama mengucapkan kesyukuran yang tidak terhingga kehadrat Allah S.W.T di atas segala nikmat yang telah dikurniakanNya kepada kita, semoga dengan kurniaan tersebut akan menambahkan lagi ketakwaan dan ketaatan kita kepadaNya, disamping mengerjakan segala yang disuruh dan meninggalkan segala perkara yang menjadi laranganNya.

Makna solat dari segi bahasa adalah doa. Dan dari istilah syarak ialah solat yang terdiri daripada perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam. Solat juga adalah suatu kewajipan yang wajib dilakukan oleh semua umat islam, tidak kira miskin, kaya, tua , muda , hamba atau merdeka, lelaki mahupun wanita untuk melakukannya. Sabda rasulullah s.a.w:

"Ditegakkan Islam atas lima perkara : pengakuan syahadah iaitu tiada tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah, pengakuan bahawa Nabi Muhammad itu Rasulullah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, menunaikan fardhu haji dan berpuasa dibulan Ramadhan".

Daripada hadis yang dibacakan sebentar tadi jelaslah menunjukkan kepada kita bahawa kewajipan solat amat penting sekali dalam kehidupan seharian bagi setiap individu Muslim. Bagi mereka yang meninggalkan solat adalah berdosa besar kerana ia menjadikan seseorang itu tidak ada keIslamannya kecuali mengerjakan solat pada setiap waktu disamping menunaikan rukun Islam yang lain. Dalam ertikata lain, rukun Islam mestilah dikerjakan dan wajib dijadikan sebagai amalan harian yang berkekalan, supaya tidak cacat sifat keIslamannya sebagai seorang Muslim.


Sebahagian daripada masyarakat kita hari ini menganggap bahawa solat itu sebagai ibadat untuk perseorangan sahaja, namun sebenarnya ada beberapa hikmah dari segi kemasyarakatan yang terjalin dengan cara berhimpun (berjemaah didalam masjid-masjid dan surau-surau. Semua ini adalah menjadikan satu jalinan untuk mengeratkan silaturrahim dan kesedaran bersama bagi mencapai keredhaan Allah S.W.T. Begitu juga
Allah S.W.T mewajibkan ke atas mereka supaya melakukan solat jemaah sekali dalam seminggu, disamping mereka berkumpul untuk mengabadikan diri kepada Allah S.W.T dapat juga mereka berkenal-kenalan di antara satu sama lain, disamping mendengar panduan dan nasihat daripada teks khutbah dibacakan oleh khatib demi kebajikan bersama dalam usaha mencapai keredhaan Allah S.W.T.


"Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat seorang diri dengan beroleh ganjaran 27 darjat".

Riwayat Al-Bukhari



Solat dalam kehidupan seseorang muslim bagaikan alat penggerak atau pemangkin kepada kecemerlangan ummah dan ianya juga merupakan tiang kepada agama kita. Sabda Rasulullah S.A.W:

"Solat itu tiang agama, barangsiapa yang mengerjakannya maka ia menegakkan agamanya dan barangsiapa yang meninggalkannya ia meruntuhkan agamanya".

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim


Daripada hadis yang dibacakan tadi, dapatlah kita fahami bahawa orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat akan merasa bahawa solat itu adalah satu perkara yang mudah dan senang sekali untuk dikerjakan, berbanding dengan sikap orang-orang yang masih belum dibukakan pintu hidayahNya kepada mereka, yang mana akan merasakan begitu sukar dan amat susah sekali untuk melakukan ibadat solat, seolah-olah ibadat solat itu menjadi beban kepada kehidupan mereka. Walau apapun, percayalah " hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih" dan " usaha tangga kejayaan ", bertepatan dengan firman Allah S.W.t:

"Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipudaya (terhadap agama) allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya) dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riya' (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka oleh orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah s.w.t (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang)".



Kalau kita renungi dan amati, bahawa ibadat solat yang kita lakukan lima kali sehari semalam dapat melahirkan beberapa sifat kemanusiaan yang unggul, antaranya:


Pertama : sesungguhnya ibadat solat itu boleh melahirkan umat Islam yang terbaik, kerana ibadat solat dapat mendidik setiap individu memiliki peribadian yang cemerlang didunia dan akhirat.


Kedua : Solat juga boleh mencegah kita daripada melakukan perkara-perkara mungkar sebagaimana firman Allah s.w.t :

"Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun), sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar".

(Al-Ankabut,45)



Ketiga : Solat itu dapat membantu kita samada dalam keadaan senang atau pun susah. Firman Allah s.w.t :

"Wahai sekalian orang-orang yang beriman!, mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan ) sembahyang, kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar".

(Al-Baqarah,153)



Keempat : Solat mendidik dan melatih kita menjadi orang yang dapat menghadapi segala kesusahan dengan hati yang tenang dan sabar serta dapat menghilangkan tabiat sombong dan takabur. Ini kerana orang yang benar-benar mendirikan solat tidak sekali-kali takut akan kemiskinan dan keperitan hidup didunia ini. InsyaAllah.


Kelima : Solat boleh menghasilkan sifat tetap pendirian, mengekalkan kita dalam mengerjakan sesuatu kebajikan dengan memberi kekuatan, kemahuan serta menyuruh kita memelihara peraturan-peraturannya menguatkan sifat displin diri, berhati-hati dan tidak tergesa-gesa dalam mengambil sesuatu tindakan.


Keenam - Bagi menjadikan hati manusia itu baik dan bersih, ianya perlu dibasuh melalui ibadat solat, membaca Al-Quran dan memperbanyakkan amalan-amalan sunat. Ini dapat memberikan ketenangan hati serta melahirkan rasa cinta kepada allah s.w.t, disamping akan memperolehi cahaya iman dengan penuh khusyuk dan tawaduk terhadap perintah allah dan larangannya.



Dengan ini jelaslah kepada kita, bahawa mereka yang tidak mengerjakan ibadat solat, maka sudah pasti selama-lamanya mereka dalam keadaan berdosa besar kerana hidup dalam kekufuran. Mereka hanya mengenal kebaikan Islam, tetapi tidak terbuka hati untuk beramal ibadat dan menerima ajaran Islam. Oleh itu, bagi mereka yang tidak melakukan solat, sudah pasti mereka tidak dapat mengenal Tuhan mereka, yakni Allah s.w.t, maka selama itulah pula dia tidak akan pernah mengenal dirinya sendiri.


Kesimpulanya, marilah sama-sama kita menilai semula solat fardhu yang telah kita kerjakan, kerana solat itu penghulu segala ibadat yang telah disyariatkan oleh Allah s.w.t ketika Rasulullah s.a.w dimakrajkan dan juga sekaligus mengangkat darjat solat sebagai ibadat yang terpenting kerana ibadat solat bukan hanya mempunyai nilai rohani, tetapi juga nilai pendidikan, kerana ia bukan sahaja membersihkan dosa, bahkan solat juga mempu mengubah peribadi manusia jika dia mengerjakannya dengan baik dan sempurna. InsyaAllah , solat juga merupakan penawar kepada umat Islam demi mencapai kebahagiaan hakiki dunia dan akhirat.

Semoga ada manfaatnya pada kalian semua dan diri saya sendiri walaupun sedikit, mohon maaf juga atas madah yang tersalah bicara. wasalam..


hasil rujukan : J.A.I.S




0 comments: