CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, December 25, 2009

TinGgiNya....DarJat ILmu....

Islam memandang tinggi orang yang menuntut ilmu, ia merupakan satu amalan yang sangat tinggi nilainya. Pahalanya amat besar sehingga orang yang mati semasa menuntut ilmu dikategorikan seperti seorang yang mati dalam beribadah.

Ayat pertama yang diturunkan dalam Al-Quran memerintah manusia supaya membaca yang bererti menuntut ilmu, sebagaimana firman Tuhan yang bermaksud...

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan Qalam”. (al-Alaq – ayat 1-4)


Dari ayat ini jelaslah menunjukkan betapa pentingnya ilmu dalam Islam, Rasulullah s.a.w juga menegaskan dalam sabdanya yang bererti...

“Sesungguhnya sekiranya engkau melangkah kaki di waktu pagi (mahupun petang) jika ia belajar satu ayat daripada al-Quran pahalanya lebih baik daripada ibadah satu tahun”.

Dalam Hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda madsudnya...

"Barang siapa keluar untuk menuntut ilmu maka ia termasuk dalam golongan orang yang berjuang pada jalan Allah , sehinggalah ia kembali".


Menuntut ilmu sama ada ilmu fardu ain atau fardu kifayah, kedua-duanya adalah penting bagi setiap insan untuk bahagia di dunia dan akhirat.

Kesempurnaan hidup di dunia berkait rapat dengan kebahgiaan di hari akhirat. Jika hidup di dunia pincang besar kemungkinan di akhirat juga akan termasuk ke dalam golongan orang yang dimurkai Allah s.w.t.

Untuk
kesempurnaan di dunia kita mesti memiliki ilmu yang sempurna, seperti firman Tuhan yang maksudnya....


"Katakanlah hai Muhammad! Adakah sama kedudukan orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu ? Sesungguhnya orang yang sedar itu ialah orang yang berfikir. (al-Zumar – ayat 9)


Ilmu pengetahuan yang ada pada seseorang itu dapat meningkatkan kedudukannya dalam masyarakat. Lagi tinggi pengetahuan seseorang maka lagi tinggilah kemuliaannya di sisi masyarakat. Orang berilmu bagaikan bintang yang bersinar diwaktu malam.

Ini jelas seperti dalam ayat Al-Quran yang bermaksud....

“Allah mengangkat kedudukan orang yang beriman dan mereka
yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat kebesaran”.
(al-Mujadalah – ayat 11)


Maksud ayat-ayat dan Hadis-Hadis di atas menunjukkan betapa tingginya darjat dan keistimewaan orang yang mempunyai ilmu pengetahuan dalam satu-satu bidang. Dengan ilmu, seseorang itu dapat meningkat martabat hidup di dunia dan di akhirat kelak. Moga ilmu yang ada adalah ilmu yang bermanfaat dan diredhai Allah..


- sumber rujukan : jurnal pendidikan


Thursday, December 24, 2009

buKa Hati , bUka minda ,jaDikan PedomAn..

KATA-KATA HIKMAH KALIFAH ISLAM




SAYIDINA UMAR BIN KHATTAB :

1. Jika tidak kerana takut dihisab, sesungguhnya aku akan perintahkan membawa seekor kambing, kemudian dipanggang untuk kami di depan pembakar roti.


2. Barangsiapa takut kepada Allah SWT nescaya tidak akan dapat dilihat kemarahannya.
Dan barangsiapa takut pada Allah, tidak sia-sia apa yang dia kehendaki.


3. Wahai Tuhan, janganlah Engkau jadikan kebinasaan umat Muhammad SAW di atas tanganku. Wahai Tuhanku, umurku telah lanjut dan kekuatanku telah lemah. Maka genggamkan (matikan) aku untukMu bukan untuk manusia.



SAYIDINA ALI KARAMALLAHU WAJHAH :

1. Cukuplah bila aku merasa mulia karena Engkau sebagai Tuhan bagiku dan cukuplah bila aku bangga bahawa aku menjadi hamba bagiMu. Engkau bagiku sebagaimana yang aku cintai, maka berilah aku taufik
sebagaimana yang Engkau cintai.


2. Hendaklah kamu lebih memperhatikan tentang bagaimana amalan itu diterima daripada banyak beramal, kerana sesungguhnya terlalu sedikit amalan yang disertai takwa. Bagaimanakah amalan itu hendak diterima?


3. Janganlah seseorang hamba itu mengharap selain kepada Tuhannya dan janganlah dia takut selain kepada dosanya.


4. Tidak ada kebaikan ibadah yang tidak ada ilmunya dan tidak ada kebaikan ilmu yang tidak difahami dan tidak ada kebaikan bacaan kalau tidak ada perhatian untuknya.



UMAR BIN AZIZ :

1. Orang yang bertakwa itu dikekang.

2. Sesungguhnya syubhat itu pada yang halal.

3. Kemaafan yang utama itu adalah ketika berkuasa.



SUFFIAN AS THAURI :

1. Tidak ada ketaatan bagi kedua ibu-bapa pada perkara syubhat.


2. Sesungguhnya seorang lelaki itu berharta bila dia zuhud di dunia, dan sesungguhnya seorang itu adalah fakir bila dia gemar pada dunia.


3. Menuntut ilmu lebih utama daripada solat sunat.


- adaptasi dari kata2 hati.blogspot

Sunday, December 20, 2009

solat itu tiang agama

Salam ukhuwah satu hati...


Marilah kita sama-sama mengucapkan kesyukuran yang tidak terhingga kehadrat Allah S.W.T di atas segala nikmat yang telah dikurniakanNya kepada kita, semoga dengan kurniaan tersebut akan menambahkan lagi ketakwaan dan ketaatan kita kepadaNya, disamping mengerjakan segala yang disuruh dan meninggalkan segala perkara yang menjadi laranganNya.

Makna solat dari segi bahasa adalah doa. Dan dari istilah syarak ialah solat yang terdiri daripada perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam. Solat juga adalah suatu kewajipan yang wajib dilakukan oleh semua umat islam, tidak kira miskin, kaya, tua , muda , hamba atau merdeka, lelaki mahupun wanita untuk melakukannya. Sabda rasulullah s.a.w:

"Ditegakkan Islam atas lima perkara : pengakuan syahadah iaitu tiada tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah, pengakuan bahawa Nabi Muhammad itu Rasulullah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, menunaikan fardhu haji dan berpuasa dibulan Ramadhan".

Daripada hadis yang dibacakan sebentar tadi jelaslah menunjukkan kepada kita bahawa kewajipan solat amat penting sekali dalam kehidupan seharian bagi setiap individu Muslim. Bagi mereka yang meninggalkan solat adalah berdosa besar kerana ia menjadikan seseorang itu tidak ada keIslamannya kecuali mengerjakan solat pada setiap waktu disamping menunaikan rukun Islam yang lain. Dalam ertikata lain, rukun Islam mestilah dikerjakan dan wajib dijadikan sebagai amalan harian yang berkekalan, supaya tidak cacat sifat keIslamannya sebagai seorang Muslim.


Sebahagian daripada masyarakat kita hari ini menganggap bahawa solat itu sebagai ibadat untuk perseorangan sahaja, namun sebenarnya ada beberapa hikmah dari segi kemasyarakatan yang terjalin dengan cara berhimpun (berjemaah didalam masjid-masjid dan surau-surau. Semua ini adalah menjadikan satu jalinan untuk mengeratkan silaturrahim dan kesedaran bersama bagi mencapai keredhaan Allah S.W.T. Begitu juga
Allah S.W.T mewajibkan ke atas mereka supaya melakukan solat jemaah sekali dalam seminggu, disamping mereka berkumpul untuk mengabadikan diri kepada Allah S.W.T dapat juga mereka berkenal-kenalan di antara satu sama lain, disamping mendengar panduan dan nasihat daripada teks khutbah dibacakan oleh khatib demi kebajikan bersama dalam usaha mencapai keredhaan Allah S.W.T.


"Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat seorang diri dengan beroleh ganjaran 27 darjat".

Riwayat Al-Bukhari



Solat dalam kehidupan seseorang muslim bagaikan alat penggerak atau pemangkin kepada kecemerlangan ummah dan ianya juga merupakan tiang kepada agama kita. Sabda Rasulullah S.A.W:

"Solat itu tiang agama, barangsiapa yang mengerjakannya maka ia menegakkan agamanya dan barangsiapa yang meninggalkannya ia meruntuhkan agamanya".

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim


Daripada hadis yang dibacakan tadi, dapatlah kita fahami bahawa orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat akan merasa bahawa solat itu adalah satu perkara yang mudah dan senang sekali untuk dikerjakan, berbanding dengan sikap orang-orang yang masih belum dibukakan pintu hidayahNya kepada mereka, yang mana akan merasakan begitu sukar dan amat susah sekali untuk melakukan ibadat solat, seolah-olah ibadat solat itu menjadi beban kepada kehidupan mereka. Walau apapun, percayalah " hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih" dan " usaha tangga kejayaan ", bertepatan dengan firman Allah S.W.t:

"Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipudaya (terhadap agama) allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya) dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riya' (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka oleh orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah s.w.t (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang)".



Kalau kita renungi dan amati, bahawa ibadat solat yang kita lakukan lima kali sehari semalam dapat melahirkan beberapa sifat kemanusiaan yang unggul, antaranya:


Pertama : sesungguhnya ibadat solat itu boleh melahirkan umat Islam yang terbaik, kerana ibadat solat dapat mendidik setiap individu memiliki peribadian yang cemerlang didunia dan akhirat.


Kedua : Solat juga boleh mencegah kita daripada melakukan perkara-perkara mungkar sebagaimana firman Allah s.w.t :

"Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun), sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar".

(Al-Ankabut,45)



Ketiga : Solat itu dapat membantu kita samada dalam keadaan senang atau pun susah. Firman Allah s.w.t :

"Wahai sekalian orang-orang yang beriman!, mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan ) sembahyang, kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar".

(Al-Baqarah,153)



Keempat : Solat mendidik dan melatih kita menjadi orang yang dapat menghadapi segala kesusahan dengan hati yang tenang dan sabar serta dapat menghilangkan tabiat sombong dan takabur. Ini kerana orang yang benar-benar mendirikan solat tidak sekali-kali takut akan kemiskinan dan keperitan hidup didunia ini. InsyaAllah.


Kelima : Solat boleh menghasilkan sifat tetap pendirian, mengekalkan kita dalam mengerjakan sesuatu kebajikan dengan memberi kekuatan, kemahuan serta menyuruh kita memelihara peraturan-peraturannya menguatkan sifat displin diri, berhati-hati dan tidak tergesa-gesa dalam mengambil sesuatu tindakan.


Keenam - Bagi menjadikan hati manusia itu baik dan bersih, ianya perlu dibasuh melalui ibadat solat, membaca Al-Quran dan memperbanyakkan amalan-amalan sunat. Ini dapat memberikan ketenangan hati serta melahirkan rasa cinta kepada allah s.w.t, disamping akan memperolehi cahaya iman dengan penuh khusyuk dan tawaduk terhadap perintah allah dan larangannya.



Dengan ini jelaslah kepada kita, bahawa mereka yang tidak mengerjakan ibadat solat, maka sudah pasti selama-lamanya mereka dalam keadaan berdosa besar kerana hidup dalam kekufuran. Mereka hanya mengenal kebaikan Islam, tetapi tidak terbuka hati untuk beramal ibadat dan menerima ajaran Islam. Oleh itu, bagi mereka yang tidak melakukan solat, sudah pasti mereka tidak dapat mengenal Tuhan mereka, yakni Allah s.w.t, maka selama itulah pula dia tidak akan pernah mengenal dirinya sendiri.


Kesimpulanya, marilah sama-sama kita menilai semula solat fardhu yang telah kita kerjakan, kerana solat itu penghulu segala ibadat yang telah disyariatkan oleh Allah s.w.t ketika Rasulullah s.a.w dimakrajkan dan juga sekaligus mengangkat darjat solat sebagai ibadat yang terpenting kerana ibadat solat bukan hanya mempunyai nilai rohani, tetapi juga nilai pendidikan, kerana ia bukan sahaja membersihkan dosa, bahkan solat juga mempu mengubah peribadi manusia jika dia mengerjakannya dengan baik dan sempurna. InsyaAllah , solat juga merupakan penawar kepada umat Islam demi mencapai kebahagiaan hakiki dunia dan akhirat.

Semoga ada manfaatnya pada kalian semua dan diri saya sendiri walaupun sedikit, mohon maaf juga atas madah yang tersalah bicara. wasalam..


hasil rujukan : J.A.I.S