CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, December 1, 2010

Terpuji atau Terindah?

Oleh ZALILA ISA
diambil dari YADIM

Pernahkah menonton filem ‘Musang Berjanggut’? Filem ini mengisahkan Tun Nila Utama yang berkonflik dengan bapa angkatnya Raja Alam Syahbana tentang konsep perempuan dan betina.

Menariknya filem ini, bukan sahaja ia diarahkan dan dibintangi pelakon hebat Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, tetapi tema cerita yang membawa kita kepada menilai erti sebenar sebuah perkahwinan dan keperluan mencari pasangan yang terbaik untuk seseorang.

Dalam meneguhkan pendirian bahawa lelaki sepertinya harus mencari wanita yang baik budi pekerti Tun Nila Utama sanggup berdepan dengan ancaman maut iaitu, jika dia tidak menemui ‘perempuan’ dalam masa setahun, dia akan dipancung.

Berbekalkan sedikit wang dan uncang yang diisi dengan bahan masakan yang bercampur aduk, misi mencari perempuan bermula. Seorang demi seorang perempuan ditemui dan kesemuanya menolak apabila membuka uncang bahan masakan yang dibawa oleh Tun Nila Utama. Mana mungkin mereka mampu mengasingkan bahan masakan yang telah bercampur aduk itu.

Sehinggalah Tun Nila Utama sampai di sebuah kampung dan bertemu dengan seorang perempuan bernama Puspawangi yang mengganggap Tun Nila Utama bukan orang sebarangan berdasarkan perjalanannya bersama Tun Nila Utama yang diselang-seli dengan pelbagai situasi yang memerlukan ketinggian akal dan kebijaksaan seseorang. Akhirnya, Puspawangi dapat membaca helah uncang itu dan sudi memasakkan bahan makanan yang terdapat di dalam uncang tersebut. Tun Nila Utama memilih untuk memperisteri Puspawangi kerana kebijaksanaannya dan juga kerana Puspawangi ditakrifkan sebagai seorang ‘perempuan’ dan bukannya ‘betina’.

Namun, pemilihan Puspawangi boleh dipertikaikan apabila, pada awal pertemuan, Tun Nila Utama memperkenalkan dirinya sebagai seorang anak raja. Hal ini sudah pasti mempengaruhi persepsi Puspawangi dan seterusnya beliau akan berperilaku secara tidak semulajadi. Jika Tun Nila Utama bukan seorang anak raja, mahukah Puspawangi mempelawa Tun Nila Utama ke rumahnya untuk berteduh barang sehari dua?

Di sini, terlihat bahawa rupa paras Puspawangi yang cantik menawan mungkin menjadi pengikat, mengapa Tun Nila Utama memperkenalkan diri sebagai anak raja.

Citra Pasangan

Penciptaan manusia sesuatu yang unik. Melalui Al-Quran dalam surah Al Mu’minuun, ayat 12-14, bermaksud;

”Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. kemudian Kami jadikan Dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha sucilah Allah, Pencipta yang paling baik.”

Dengan penciptaan yang unik ini, terlahir manusia yang pelbagai rupa dan memiliki ciri-ciri tersendiri. Dengan penciptaan yang unik ini juga, lelaki dan wanita ditakdirkan untuk berpasang-pasangan sebagaimana penciptaan langit dan bumi, matahari dan bulan, bunga dan kumbang serta lain-lainnya. Setiap benda yang dicipta adalah berpasang-pasangan.

Memilih wanita sebagai teman hidup memerlukan kriteria tertentu. Inilah susunan dan peraturan Islam yang indah. Agar pemilihan itu kelak tidak memudaratkan hubungan sesama manusia dan generasi selepasnya.

Rasulullah SAW bersabda :
“Perempuan itu dikawini atas empat perkara, iaitu: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, atau kerana agamanya. Akan tetapi, pilihlah berdasarkan agamanya agar dirimu selamat.”
(H.R. Bukhari dan Muslim)

Selain itu terdapat ciri-ciri tambahan yang lain yang disenaraikan bagi memilih wanita. Antaranya ialah perawan, berakhlak baik, sekufu, subur, mudah dilamar dan banyak lagi yang melambangkan ciri-ciri wanita yang baik.

Bagi golongan wanita pula, Rasulullah telah mengenakan dua syarat pilihan iaitu hanya menerima lelaki yang beragama dan berakhlak sebagai suami. Ini menunjukkan Islam amat menjaga kebajikan wanita.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia, jika tidak kamu lakukan demikian akan berlakulah fitnah di bumi dan kerosakan yang besar.”

Pemilihan pasangan yang mengikut lunas agama akan terlahirnya generasi yang baik dan berkualiti.

Citra Masakini

Melihat isu ini dari situasi masakini, seolah-olah banyak kelompongan dan kecacatan tingkahlaku manusia dalam memilih pasangannya. Persepsi lelaki dan wanita tentang pasangan mula berubah mengikut pengaruh semasa. Apa yang terlihat, tiada lagi kelibat ‘Tun Nila Utama’ yang sanggup mencagar nyawa demi membuktikan bahawa wanita dan betina itu banyak bezanya.

Kebanyakan lelaki masa kini, dilihat tidak lagi mempersiapkan diri dengan akhlak dan jatidiri yang mulia dan terpuji demi menjadi tunggak kepada pasangan dan rumahtangga yang bakal dibina. Wanita yang menjadi pilihan pula tidak diuji atau dinilai sebaiknya. Hanya tangkap muat dan sekadar ada.

Begitu juga dengan sesetengah citra wanita masa kini yang jarang terlihat kelibat ‘Puspawangi’ yang bijaksana dan berakhlak mulia. Wanita masa kini leka dalam mempersiap diri untuk menjadi wanita yang mulia dan isteri yang baik. Mereka juga buta dalam memilih lelaki yang bakal menjadi pasangan hidup. Apa yang penting bagi sesetengah wanita masakini mungkin keseronokan dan bahagia yang pada hakikatnya adalah fatamorgana semata-mata tanpa disulami keimanan.

Hari ini, kita lihat seorang lelaki memilih wanitanya kerana wanita itu cantik, pandai bergaya, dan mungkin terlebih bagus wanita itu punya kekayaaan. Hal beriman atau tidak, bertudung atau tidak, masih dara atau tidak, tolak ke tepi. Itu hal yang sudah tidak terpandangkan lagi. Hidup hari ini adalah untuk hari ini dan masa depan adalah hal lain.

Begitu juga dengan wanita yang memilih lelaki. Selalunya, biarlah lelaki itu mampu mengungkap cinta dengan baik, kacak, pandai melayan, kaya, dan boleh dibawa ke tepi atau ke tengah. Hal beriman atau tidak buang ke tepi. Hal boleh menjadi imam kepada keluarga juga sering diabaikan.

Fenomena memilih pasangan secara tangkap muat ini mempunyai pengaruh yang tidak baik kepada generasi akan datang. Ia juga merupakan penyakit yang berbahaya kepada institusi sosial masyarakat Melayu dan Islam yang amat mementingkan akhlak dan perhubungan yang mengikut landasan syariat.

Jika pasangan hari ini tidak mementingkan hal-hal yang suatu waktu dahulu menjadi suatu kemestian malah kewajipan seperti beragama, berakhlak, dan masih perawan, nescaya, generasi yang terlahir nanti tidak akan diikat dengan batasan sosial yang ditetapkan oleh agama dan adab budaya masyarakat.

Mengapa ciri beragama dan berakhlak dipentingkan dalam diri lelaki dan wanita yang mahu bersatu? Kerana agama dan akhlak yang baik menentukan hala tuju sesebuah perkahwinan samaada mengikut tuntutan agama atau terpesong dari landas Islam.

Begitu juga persoalan ‘masih perawan’ yang ditekankan oleh orang tua zaman dahulu kepada bakal menantu perempuannya? Kerana ‘perawan’ seseorang wanita itu melambangkan akhlaknya, sifat malunya, maruah dan perangainya.

Tun Nila Utama dan Puspawangi dalam filem Musang berjanggut bukanlah citra terpuji yang boleh di buat contoh sepenuhnya. Mereka masih punya kelemahan. Apa yang ingin disampaikan melalui filem itu adalah citra terpuji seorang lelaki yang mementingkan siapa pasangannya serta citra terpuji seorang wanita yang bakal menemani pasangannya.

Contoh terbaik dalam memilih pasangan lelaki sebaiknya mencontohi peribadi dan akhlak Nabi Muhammad s.a.w serta sahabatnya. Manakala bagi wanita pula harus dilihat kehebatan akhlak dan keteguhan hati seperti isteri-isteri nabi serta wanita beriman yang selalu diceritakan dalam kisah nabi-nabi.

Citra terpuji yang dituntut dalam Islam adalah sifat mulia dan akhlak yang baik dalam memilih pasangan hidup. Manakala citra terindah bukan semata-mata kerana paras wajah yang kebanyakannya hanya topeng. Citra terindah adalah keindahan budi pekerti disulami keimanan yang kukuh kepada Islam.

Citra terpuji dan terindah bukan kisah untuk pasangan suami isteri sahaja. Ia lebih daripada itu. Dengan bersatunya pasangan lelaki dan wanita, maka terhasil anak yang bakal menghuni dunia. Generasi bagaimanakah yang kita mahukan? Adakah generasi yang terlebih baik daripada kita ataupun generasi yang lebih buruk nilainya daripada kita?

0 comments: