CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, December 7, 2010

MAAL HIJRAH: SUNTIKAN UNTUK KEUNGGULAN UMAT

Oleh : Prof. Madya Dr. Ab. Aziz Mohd. Zin
diambil dari : http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=493
Panel Penulis JAKIM

Pada awal abad yang ketujuh Masehi, masyarakat dunia berada di pintu kehancuran. Kuasa dunia pada abad tersebut yang terdiri dari Kerajaan Empayar Rom (509SM-453M) dan Kerajaan Empayar Farsi (700SM-641M) telah menjunam jatuh akibat rebutan kuasa dan perpecahan di sana sini. Masyarakat Arab yang menghuni Semenanjung Tanah Arab lebih teruk menghadapi keruntuhan akibat daripada keruntuhan moral dan sifat taksub kepada kabilah dan puak. Dunia dalam bahaya kerana keadaan masyarakatnya tidak stabil lantaran kehilangan tonggak pegangan dan moral.

Allah Maha Adil dan Maha Penyayang kerana tidak membiarkan masyarakat manusia terus hancur dan musnah. Allah s.w.t mengutuskan seorang rasul-Nya yang terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Dalam mengimbau kembali peristiwa tersebut, Allah s.w.t menjelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:

'Dan berpegang teguhlah kepada Tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu) lalu Allah menyatukan antara hati kamu (hingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Kamu dahulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (melalui Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya supaya kamu mendapat petunjuk hidayat-Nya'

(Ali ‘Imran:103)

Ayat tersebut antara lain menjelaskan bahawa keadaan manusia yang hampir-hampir rosak binasa dan akan menerima akibat yang lebih buruk di akhirat telah diselamatkan menerusi pengutusan rasul untuk memandu mereka ke jalan yang benar dan akhirnya mereka terselamat.

Bagi mengubah masyarakat supaya berada dalam keadaan selamat, Rasulullah s.a.w telah berhempas pulas mengorbankan segala apa yang ada dan ini diikuti pula oleh sahabat-sahabat baginda yang setia. Dalam tempoh 23 tahun, usaha tersebut dicurahkan oleh baginda dan akhirnya mencapai matlamat iaitu berjaya mengubah dan menyelamatkan masyarakat dunia dari kehancuran dan kerosakan.

Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w membuat perbandingan tentang usahanya itu yang bermaksud:

'Antara aku dan kamu diumpamakan seperti seorang lelaki yang menyalakan api. Maka datanglah segala unggas dan binatang-binatang kecil yang berterbangan lalu jatuh ke dalamnya, sedangkan lelaki itu berusaha untuk menahan benda-benda tersebut dari jatuh ke dalamnya. Aku memegang dengan kuat ikatan pinggang kamu supaya tidak jatuh ke dalam api, sedangkan kamu terlepas dari peganganku.'

Hadith ini menggambarkan keadaan manusia yang menuju kepada kebinasaan sedangkan mereka tidak mengetahuinya. Manakala Rasulullah s.a.w pula berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan mereka agar terlepas dari kebinasaan itu. Akhirnya masyarakat Islam di Semenanjung Tanah Arab telah dapat mencabar kuasa dunia iaitu Rom dan Farsi seterusnya muncul selepas itu sebagai sebuah masyarakat yang mengambil alih kuasa dunia.

Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a berjaya mengubah masyarakat dari sudut kepercayaan, sikap, moral, cara berfikir dan segala-galanya, termasuk perubahan pengorbanan daripada tertumpu kepada sesama manusia kepada tertumpu kepada Allah. Masyarakat manusia berjaya dipindahkan dari dua keadaan yang perbezaannya sangat jauh.

Dalam menyusuri perkembangan sejarah, selepas kejayaan kali pertama maka masyarakat Islam mengharungi jatuh bangun dalam pentas pergolakan dunia dan ia berkait rapat dengan komitmen mereka terhadap agama Islam yang suci. Era kemalapan umat Islam kali terakhir berlaku pada awal abad ke-20. Sejak kejatuhan Khalifah Uthmaniah di Turki pada tahun 1924, masyarakat Islam semakin terumbang-ambing di gelanggang dunia. Kini masyarakat Islam masuk ke era kelemahan dan keruntuhan yang menyeluruh. Masyarakat Islam yang berpecah-pecah berdasarkan kawasan dan negara, menjadi sebuah masyarakat yang sentiasa dicabar dan dihina di mana-mana. Menjelang abad ke-21, masyarakat Islam diganyang di merata-rata seperti di Yugoslavia, Iraq, Palestin, Kosovo dan di seluruh pelosok dunia. Apa yang berlaku sekarang jelas sebagaimana yang diceritakan dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud yang bermaksud:

'Hampir-hampir seluruh umat mengeliling kamu sepertimana orang-orang yang kelaparan mengelilingi hidangan mereka.' Ada yang bertanya, 'Apakah itu disebabkan bilangan kita kurang?' Nabi s.a.w menjawab: 'Bilangan kamu pada ketika itu ramai tetapi seperti buih. Allah mencabut dalam hati seteru kamu perasaan gerun terhadap kamu dan meletakkan perasaan al-wahn dalam hati kamu.' Ada yang bertanya: 'Apa al-wahn itu wahai Rasulullah?' Jawab Baginda: 'Cintakan dunia dan bencikan mati.'

Hadith ini jelas menunjukkan bahawa sampai suatu masa orang-orang Islam samalah seperti satu hidangan yang dikelilingi oleh sekumpulan orang yang lapar lagi gelojoh makan. Tiada sedikitpun perasaan bimbang dalam hati orang bukan Islam untuk melakukan apa sahaja yang disukai terhadap orang-orang Islam kerana mereka sangat lemah.

Ada bermacam-macam jawapan apabila ditanya sebab kelemahan masyarakat Islam sekarang. Ada yang berpendapat ia berpunca dari kelemahan politik dan perpecahan di kalangan masyarakat Islam. Ada yang berpendapat kerana kelemahan ekonomi, kelemahan pendidikan dan pencapaian ilmu ataupun kerana kelemahan dalam pencapaian sains dan teknologi. Ada yang memberikan alasan kerana kelemahan iman atau kerana tidak mengikut arahan agama dan bermacam-macam lagi.

Namun berdasarkan hadith itu tadi, jelas menunjukkan bahawa sebab kelemahan masyarakat Islam ialah hilangnya semangat berkorban dari dalam diri mereka. Umat Islam sudah tidak sanggup berkorban untuk tidak cintakan dunia atau berkorban untuk tidak takut mati. Mereka cintakan dunia sehingga sanggup memilihnya dengan membelakangkan kepentingan agama. Mereka juga takutkan mati apabila dituntut oleh agama bangun memperjuangkan sesuatu kebenaran. Inilah sifat-sifat negatif yang menjangkiti umat Islam.

Roh Ma’al Hijrah memerlukan setiap umat Islam berkorban untuk berpindah daripada bentuk negatif yang ada dalam diri mereka kepada bentuk-bentuk positif yang selaras dengan Islam. Berkorban ataupun jihad perlu tersemai di dalam jiwa masyarakat Islam sama ada dari sudut pengertian mahupun sikap.

Masyarakat Islam kini agak jauh terpesong dari landasan agamanya. Sebagai contoh, sungguhpun agama menuntut agar umatnya menuntut ilmu, tetapi kenyataan yang ada, sehingga kini sebahagian besar masyarakat Islam adalah buta huruf. Islam juga menuntut umatnya bersatu padu. Namun realiti masa kini umat Islamlah yang paling ramai berpecah belah. Demikianlah juga, Islam menuntut umatnya supaya rajin, berdisiplin dan menjaga masa tetapi orang Islamlah yang kurang berusaha, tidak berperaturan dan suka membuang masa.

Jika dilihat kepada dasar-dasar ajaran Islam itu sendiri, peluang orang Islam untuk maju dan mulia dalam dunia masa kini amatlah cerah. Ini kerana orang Islam mempunyai aset yang mencukupi dalam rangka untuk menempah kemajuan iaitu dorongan dari ajaran Islam dan aset material.

Aset galakan dan dorongan agama ini dapat dilihat dengan jelas di mana Islam sangat mementingkan ilmu dan mewajibkan ke atas setiap umatnya menuntut ilmu. Agama juga menuntut orang Islam sentiasa membina kekuatan dan kemuliaan. Kewajipan ini mendorong kuat umat Islam berusaha mencapai kekuatan dan kemuliaan pada setiap masa dan ketika. Ajaran Islam juga sangat mementingkan pegangan hidup yang mantap dan akhlak mulia. Islam juga mewajipkan umatnya menjalankan aktiviti kehidupan dengan bersih, ikhlas dan amanah.

Oleh itu, galakan-galakan seperti ini sangat penting dan menjadi modal yang besar kepada masyarakat Islam dalam mengembalikan keagungan dan kegemilangan zaman emas umat Islam.

Di samping itu, umat Islam memiliki aset material yang besar dan utama yang tidak dimiliki oleh kuasa kuffar. Petroleum, gas asli, bahan galian, sumber air, hasil hutan, bahan makanan, bilangan penganut dan banyak lagi adalah sumber kekuatan umat yang sentiasa menjadi bahan rebutan dan eksploitasi oleh golongan kuffar. Dengan adanya aset-aset tersebut dan manfaat secukupnya maka tidak mustahil masyarakat Islam menjadi satu masyarakat yang kuat dan maju sebagaimana yang pernah ditempa pada suatu ketika dahulu.

Perpindahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a dari kota Mekah ke Madinah dan sebelumnya perpindahan sesetengah sahabat dari Mekah ke Habsyah, merupakan pembinaan langkah baru sebagai persiapan menghadapi cabaran yang bakal tiba secara terus menerus. Hijrah bukanlah asing dalam Islam dan ia adalah sebahagian daripada Islam. Hijrah kerana menuntut ilmu, mencari kebenaran, berjihad, berdakwah, mencari nafkah, kerana perniagaan dan bermacam-macam hijrah lagi adalah tuntutan dan asas ajaran Islam itu sendiri.

Untuk terus maju dan mencapai kemuliaan, masyarakat Islam tidak boleh berpeluk tubuh dan hanya menyerah kepada takdir. Umat Islam dahulu telah berjihad secara habis-habisan, maka sebab itulah mereka berjaya meletakkan Islam di tempat yang mulia dan sepatutnya. Kini giliran kita memberi sumbangan kepada agama yang suci ini agar ia terus berkembang dan dihormati. Sesungguhnya bumi ini dan segala apa yang ada padanya adalah hak kepunyaan umat Islam. Di tangan orang Islamlah selayaknya ia harus ditadbirkan. Firman Allah s.w.t yang maksudnya:

'Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis dalam kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Luh Mahfuz, bahawasanya bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh'

(al-Anbiya’:105)

Ayat tersebut menjelaskan kepada orang Islam tentang hak mereka mewarisi pentadbiran bumi ini, tetapi dengan syarat bahawa mereka terdiri dari golongan orang-orang yang soleh. Jika syarat tersebut luput, maka mereka tidak berhak apatah lagi layak mendapatkannya.

Bagi melepaskan diri dari kongkongan kelemahan dan kehinaan, maka umat Islam perlu melihat hijrah dalam pengertiannya yang luas iaitu perubahan diri menuju kepada kegemilangan di dunia dan di akhirat. Untuk itu maka langkah yang perlu diatur mestilah mengandungi kefahaman yang jelas dan gerak kerja yang teratur dan betul.

Perubahan ke arah kemajuan dan kemuliaan ummah bermula dengan pengisian kefahaman bahawa Islam adalah agama yang agung dan mulia maka umatnya juga jelas adalah umat yang agung dan mulia. Namun ia hanya dapat dicapai menerusi kekuatan spiritual, moral, fizikal, dan daya cipta serta kesatuan umat itu sendiri. Masyarakat Islam juga wajib memahami bahawa segala ilmu yang baik dan berfaedah kepada manusia adalah termasuk ke dalam ilmu yang disukai dan dituntut oleh Islam. Oleh itu, menuntut ilmu yang bermanfaat adalah satu kewajipan dan dikira berdosa mereka yang mengabaikannya. Masyarakat juga perlu memahami bahawa mereka merupakan pewaris yang sah kepada kepimpinan bumi ini. Tanpa pertunjuk dan panduan hidup dari Allah Tuhan semesta alam, mustahil kaum lain yang mensyirikkan Allah s.w.t layak mentadbir bumi yang diciptakan-Nya.

Di samping kefahaman, beberapa gerak kerja juga harus diatur oleh masyarakat Islam untuk tujuan kemajuan dan kemuliaan Islam iaitu menceburkan diri dalam pelbagai kajian dan penemuan dengan lebih kuat daripada masyarakat lain, asalkan ianya berfaedah dan tidak bercanggah dengan batas-batas syarak. Masyarakat Islam juga perlu bergerak dan bekerja secara terbuka tanpa terikat dengan kongkongan pemikiran yang sempit dan merugikan. Dan juga perlu menghidupkan dan menghayati semangat jihad iaitu bersungguh-sungguh dan berkorban dalam mencapai cita-cita murni yang bertepatan dengan Islam. Umat Islam tidak dapat tidak mesti memperkukuhkan tonggak kekuatan yang terdiri dari kekuatan akidah, fizikal dan material. Mereka juga perlu mempertingkatkan usaha melahirkan masyarakat yang soleh dan seimbang dari segi rohani dan jasmani kerana ia menjadi syarat mewarisi teraju kepimpinan bumi ini.

Masyarakat Islam yang kian pudar dan kian hilang kekuatan tidak boleh dibiarkan terus berada dalam keadaan seperti ini. Masyarakat Islam pada hakikatnya mempunyai aset dan sumber kekuatan yang perlu digerakkan dan dimanfaatkan demi kemajuan dan kemuliaan umat. Kita mampu berbuat demikian jika kita mahu kerana bekalan sudah tersedia. Jika generasi awal umat Islam boleh melakukannya maka mengapa kita tidak boleh. Sesungguhnya Ma’al Hijrah merupakan titik tolak yang paling sesuai ke arah itu.

saLam maaL Hijrah sahabat2



sebut jer 1muharam.. "eh ape azam taun baru nie ea?? ^_^ "
pastinya setiap insan da terlakar di minda masing2 tentangnya..
yg lepas biarlah ia berlalu.. dan jadikan ia teladan..
ape yg baik kita pertingkatkan..
SaLam Muhasabah.. SaLam MahabbaH..

Sunday, December 5, 2010

antara gamba2 yg diadaptasi...




MAHA2010 Malaysian Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show



Siri pameran dwitahunan MAHA Antarabangsa 2010 merupakan pameran pertanian yang terulung di Malaysia. Ditaja oleh Kementerian Pertanian and Industri Asas Tani dan dianjurkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, FAMA. Ia merupakan pameran yang terbesar dan paling komprehensif di rantau ini dan mungkin di Asia. MAHA Antarabangsa 2010 akan diadakan daripada 26 November 2010 dan berlanjutan selama 10 hari sehingga 5 Disember 2010. Ia dijangka akan berasakan kepada kejayaan MAHA 2008 yang merupakan pameran terbesar dan telah tercatat di dalam Malaysia Book of Records. Adalah menjadi satu kepastian untuk semua industri yang berkaitan akan mengambil bahagian. Pameran tahunan ini menjanjikan teknologi terkini dengan demonstrasi yang lebih menarik dan tepat dengan juga aktiviti perdagangan yang akan menarik para pengunjung perdagangan tempatan dan luar negeri. Ia merupakan pameran para pengeluar, petani, nelayan dan penternak terbaik di Malaysia. MAHA Antarabangsa 2010 adalah satu landasan memperkenalkan syarikat pengeluaran produk agro dan makanan yang terbaik di Malaysia. Lebih daripada 950 jabatan and agensi pertanian, syarikat-syarikat swasta dan industri kecil sederhana akan mengambil bahagian. MAHA Antarabangsa 2010 akan mempamerkan produk pertanian daripada 28 negara.

Tema MAHA Antarabangsa 2010 “Inovasi Pertanian Pemangkin Pembangunan” memberi tanda permulaan era inovasi pertanian dan industri berasaskan pertanian daripada rantau ini.


diambil dari : http://www.mahaexpo2010.com/bm/

48 penyokong baju merah ditangkap




Seramai 48 penyokong baju merah ditahan manakala yang lainnya 'berlindung' perkarangan dan dalam Masjid Negara ketika polis bertindak menyuraikan ribuan penyokong perhimpunan bantahan kenaikan harga air di Selangor.

Ketika mengesahkan jumlah tersebut, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkefli Abdullah berkata, semua yang ditahan itu adalah orang dewasa.

Antara mereka, kelihatan seorang pegawai di pejabat Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, Amin Ahmad dibawa dengan sebuah trak bersama yang lain.

"Manakala seorang wakil rakyat ditahan polis pagi tadi telah pun dibebaskan," katanya dipercayai merujuk kepada ADUN Kota Damansara Dr Nasir Hashim.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibu negara, beliau berkata, kesemua mereka kini ditahan di Balai Polis PGA Cheras.

Menurutnya, pihak polis telah menghubungi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim jam 10.20 pagi tadi meminta supaya jangan berarak ke Istana Negara.

Pihak polis juga, katanya, akan memberi bantuan untuk menghantar memorandum tersebut ke Istana Negara.

'Sepatutnya contohi Gaps'

Zulkefli berkata, sebuah lagi kumpulan, Ggasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) mula berhimpun di Stadium Merdeka mulai jam 11.00 pagi dan berjaya menyerahkan memorandum pada jam 12.40 tengah hari tadi.

Pada jam 2.05 petang, polis mengiringi menteri besar Selangor itu bersama 10 anggota delegasinya untuk menyerahkan memorandum tersebut.

Zulkefli juga menyuarakan rasa sedih dan kesalnya kerana penyokong baju merah yang berhimpun di Masjid Negara tidak bersurai sejurus selepas diarahkan.

"Kita permudahkan perjalanan mereka (baju merah) untuk hantar demo. Tetapi mereka tidak hargai dan kata kita berat sebelah. Saya kesal.

"Kita beri peluang pada kedua-dua belah pihak. Kita tengok Gaps, dia ikut cakap kita. Pihak Gaps setuju bila dibenarkan berhimpun dalam kumpulan kecil dan kemudian menyerahkan memorandum dan tiada perarakan ke istana.

"Itulah yang sepatutnya perlu dicontohi," kata Zulkefli.

Menurutnya, pada jam 3.05 petang, pihak polis bertindak melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan mereka.

Dihantar kembali ke masjid negara
Sementara itu, Zulkefli berkata, jalan-jalan yang ditutup di sekitar Masjid Negara akan dibuka secara berperingkat.

Sebelum itu, ahli parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin, mereka yang ditahan itu dibawa menaiki dua trak polis.

Mereka ditahan selepas kira-kira 300 anggota polis membuat serbuan pada jam 2.45 petang tadi apabila penyokong baju merah itu enggan bersurai selepas diarahkan berbuat demikian.

Mereka yang ditangkap itu tidak sempat melarikan diri manakala yang lainnya berebut masuk ke dalam ruang solat masjid untuk berlindung.

Penyokong baju merah yang berada di masjid itu terdiri daripada mereka yang berpatah balik ketika menyertai perarakan ke Istana Negara selepas pihak polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan merian air.

Sementara itu, difahamkan kesemua yang ditahan kini dalam proses dibawa kembali ke masjid negara, tempat mereka ditahan.

diambil dari... : http://www.malaysiakini.com/news/150031

Wednesday, December 1, 2010

BelaJarLah Dari SoLat ^_^





kenangan silam sumber inspirasi

seringkali kita dengar
kenangan silam biarlah pergi
lagi jauh lagi bererti
namun dari satu sudut lain
ia amat bermakna
untuk kemajuan diri
kerana muhasabah itu perlu
dan pasti menjadi kehendak
ingatlah
kita hidup x bermakna
jika tujuan dan matlamatnya goyah
umpama tiada pegangan
seperti tali yg x diikat
x tahu di mana punca

Terpuji atau Terindah?

Oleh ZALILA ISA
diambil dari YADIM

Pernahkah menonton filem ‘Musang Berjanggut’? Filem ini mengisahkan Tun Nila Utama yang berkonflik dengan bapa angkatnya Raja Alam Syahbana tentang konsep perempuan dan betina.

Menariknya filem ini, bukan sahaja ia diarahkan dan dibintangi pelakon hebat Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, tetapi tema cerita yang membawa kita kepada menilai erti sebenar sebuah perkahwinan dan keperluan mencari pasangan yang terbaik untuk seseorang.

Dalam meneguhkan pendirian bahawa lelaki sepertinya harus mencari wanita yang baik budi pekerti Tun Nila Utama sanggup berdepan dengan ancaman maut iaitu, jika dia tidak menemui ‘perempuan’ dalam masa setahun, dia akan dipancung.

Berbekalkan sedikit wang dan uncang yang diisi dengan bahan masakan yang bercampur aduk, misi mencari perempuan bermula. Seorang demi seorang perempuan ditemui dan kesemuanya menolak apabila membuka uncang bahan masakan yang dibawa oleh Tun Nila Utama. Mana mungkin mereka mampu mengasingkan bahan masakan yang telah bercampur aduk itu.

Sehinggalah Tun Nila Utama sampai di sebuah kampung dan bertemu dengan seorang perempuan bernama Puspawangi yang mengganggap Tun Nila Utama bukan orang sebarangan berdasarkan perjalanannya bersama Tun Nila Utama yang diselang-seli dengan pelbagai situasi yang memerlukan ketinggian akal dan kebijaksaan seseorang. Akhirnya, Puspawangi dapat membaca helah uncang itu dan sudi memasakkan bahan makanan yang terdapat di dalam uncang tersebut. Tun Nila Utama memilih untuk memperisteri Puspawangi kerana kebijaksanaannya dan juga kerana Puspawangi ditakrifkan sebagai seorang ‘perempuan’ dan bukannya ‘betina’.

Namun, pemilihan Puspawangi boleh dipertikaikan apabila, pada awal pertemuan, Tun Nila Utama memperkenalkan dirinya sebagai seorang anak raja. Hal ini sudah pasti mempengaruhi persepsi Puspawangi dan seterusnya beliau akan berperilaku secara tidak semulajadi. Jika Tun Nila Utama bukan seorang anak raja, mahukah Puspawangi mempelawa Tun Nila Utama ke rumahnya untuk berteduh barang sehari dua?

Di sini, terlihat bahawa rupa paras Puspawangi yang cantik menawan mungkin menjadi pengikat, mengapa Tun Nila Utama memperkenalkan diri sebagai anak raja.

Citra Pasangan

Penciptaan manusia sesuatu yang unik. Melalui Al-Quran dalam surah Al Mu’minuun, ayat 12-14, bermaksud;

”Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. kemudian Kami jadikan Dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha sucilah Allah, Pencipta yang paling baik.”

Dengan penciptaan yang unik ini, terlahir manusia yang pelbagai rupa dan memiliki ciri-ciri tersendiri. Dengan penciptaan yang unik ini juga, lelaki dan wanita ditakdirkan untuk berpasang-pasangan sebagaimana penciptaan langit dan bumi, matahari dan bulan, bunga dan kumbang serta lain-lainnya. Setiap benda yang dicipta adalah berpasang-pasangan.

Memilih wanita sebagai teman hidup memerlukan kriteria tertentu. Inilah susunan dan peraturan Islam yang indah. Agar pemilihan itu kelak tidak memudaratkan hubungan sesama manusia dan generasi selepasnya.

Rasulullah SAW bersabda :
“Perempuan itu dikawini atas empat perkara, iaitu: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, atau kerana agamanya. Akan tetapi, pilihlah berdasarkan agamanya agar dirimu selamat.”
(H.R. Bukhari dan Muslim)

Selain itu terdapat ciri-ciri tambahan yang lain yang disenaraikan bagi memilih wanita. Antaranya ialah perawan, berakhlak baik, sekufu, subur, mudah dilamar dan banyak lagi yang melambangkan ciri-ciri wanita yang baik.

Bagi golongan wanita pula, Rasulullah telah mengenakan dua syarat pilihan iaitu hanya menerima lelaki yang beragama dan berakhlak sebagai suami. Ini menunjukkan Islam amat menjaga kebajikan wanita.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia, jika tidak kamu lakukan demikian akan berlakulah fitnah di bumi dan kerosakan yang besar.”

Pemilihan pasangan yang mengikut lunas agama akan terlahirnya generasi yang baik dan berkualiti.

Citra Masakini

Melihat isu ini dari situasi masakini, seolah-olah banyak kelompongan dan kecacatan tingkahlaku manusia dalam memilih pasangannya. Persepsi lelaki dan wanita tentang pasangan mula berubah mengikut pengaruh semasa. Apa yang terlihat, tiada lagi kelibat ‘Tun Nila Utama’ yang sanggup mencagar nyawa demi membuktikan bahawa wanita dan betina itu banyak bezanya.

Kebanyakan lelaki masa kini, dilihat tidak lagi mempersiapkan diri dengan akhlak dan jatidiri yang mulia dan terpuji demi menjadi tunggak kepada pasangan dan rumahtangga yang bakal dibina. Wanita yang menjadi pilihan pula tidak diuji atau dinilai sebaiknya. Hanya tangkap muat dan sekadar ada.

Begitu juga dengan sesetengah citra wanita masa kini yang jarang terlihat kelibat ‘Puspawangi’ yang bijaksana dan berakhlak mulia. Wanita masa kini leka dalam mempersiap diri untuk menjadi wanita yang mulia dan isteri yang baik. Mereka juga buta dalam memilih lelaki yang bakal menjadi pasangan hidup. Apa yang penting bagi sesetengah wanita masakini mungkin keseronokan dan bahagia yang pada hakikatnya adalah fatamorgana semata-mata tanpa disulami keimanan.

Hari ini, kita lihat seorang lelaki memilih wanitanya kerana wanita itu cantik, pandai bergaya, dan mungkin terlebih bagus wanita itu punya kekayaaan. Hal beriman atau tidak, bertudung atau tidak, masih dara atau tidak, tolak ke tepi. Itu hal yang sudah tidak terpandangkan lagi. Hidup hari ini adalah untuk hari ini dan masa depan adalah hal lain.

Begitu juga dengan wanita yang memilih lelaki. Selalunya, biarlah lelaki itu mampu mengungkap cinta dengan baik, kacak, pandai melayan, kaya, dan boleh dibawa ke tepi atau ke tengah. Hal beriman atau tidak buang ke tepi. Hal boleh menjadi imam kepada keluarga juga sering diabaikan.

Fenomena memilih pasangan secara tangkap muat ini mempunyai pengaruh yang tidak baik kepada generasi akan datang. Ia juga merupakan penyakit yang berbahaya kepada institusi sosial masyarakat Melayu dan Islam yang amat mementingkan akhlak dan perhubungan yang mengikut landasan syariat.

Jika pasangan hari ini tidak mementingkan hal-hal yang suatu waktu dahulu menjadi suatu kemestian malah kewajipan seperti beragama, berakhlak, dan masih perawan, nescaya, generasi yang terlahir nanti tidak akan diikat dengan batasan sosial yang ditetapkan oleh agama dan adab budaya masyarakat.

Mengapa ciri beragama dan berakhlak dipentingkan dalam diri lelaki dan wanita yang mahu bersatu? Kerana agama dan akhlak yang baik menentukan hala tuju sesebuah perkahwinan samaada mengikut tuntutan agama atau terpesong dari landas Islam.

Begitu juga persoalan ‘masih perawan’ yang ditekankan oleh orang tua zaman dahulu kepada bakal menantu perempuannya? Kerana ‘perawan’ seseorang wanita itu melambangkan akhlaknya, sifat malunya, maruah dan perangainya.

Tun Nila Utama dan Puspawangi dalam filem Musang berjanggut bukanlah citra terpuji yang boleh di buat contoh sepenuhnya. Mereka masih punya kelemahan. Apa yang ingin disampaikan melalui filem itu adalah citra terpuji seorang lelaki yang mementingkan siapa pasangannya serta citra terpuji seorang wanita yang bakal menemani pasangannya.

Contoh terbaik dalam memilih pasangan lelaki sebaiknya mencontohi peribadi dan akhlak Nabi Muhammad s.a.w serta sahabatnya. Manakala bagi wanita pula harus dilihat kehebatan akhlak dan keteguhan hati seperti isteri-isteri nabi serta wanita beriman yang selalu diceritakan dalam kisah nabi-nabi.

Citra terpuji yang dituntut dalam Islam adalah sifat mulia dan akhlak yang baik dalam memilih pasangan hidup. Manakala citra terindah bukan semata-mata kerana paras wajah yang kebanyakannya hanya topeng. Citra terindah adalah keindahan budi pekerti disulami keimanan yang kukuh kepada Islam.

Citra terpuji dan terindah bukan kisah untuk pasangan suami isteri sahaja. Ia lebih daripada itu. Dengan bersatunya pasangan lelaki dan wanita, maka terhasil anak yang bakal menghuni dunia. Generasi bagaimanakah yang kita mahukan? Adakah generasi yang terlebih baik daripada kita ataupun generasi yang lebih buruk nilainya daripada kita?